TISSA-UUM Memburu Akreditasi EPAS
Pada 1 Mac 2018, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) telah melancarkan Kempen Kesedaran EPAS.
Kempen tersebut telah dirasmikan Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah, pagi tadi.
EPAS adalah sistem program akreditasi antarabangsa yang dikendalikan European Foundation for Management and Development (EFMD) bertujuan untuk menilai program perniagaan atau/dan pengurusan yang mempunyai prespektif antarabangsa, seterusnya menentukan kualiti institusi berteraskan pengurusan.
Naib Canselor berkata, EPAS merupakan satu gagasan yang menunjangi penanda aras kualiti tertinggi bagi program yang ditawarkan sekolah pengurusan antarabangsa dan akreditasi yang djalankan EFMD itu adalah yang terbaik dan paling lengkap.
"Langkah untuk mendapatkan EPAS ini adalah satu anjakan yang akan meletakkan program perakaunan selangkah ke hadapan dan berdasarkan kedudukan QS WUR By Subject Ranking, subjek Perakaunan dan Kewangan kini berada dalam kelompok 151-200.
"Saya berharap semua warga TISSA termasuk pelajar dapat berbangga dengan pencapaian ini dan saya mahu TISSA menggerakkan lagi usaha dalam penjenamaan dan kempen tentang TISSA ke seluruh dunia supaya pusat pengajian ini dikenali dan secara tidak langsung ia akan menarik perhatian institusi dunia untuk menjalinkan kerjasama," ujarnya yang turut menekankan supaya TISSA memperbanyakkan kajian kes tentang perakaunan.
Sementara itu, Dekan TISSA, Prof Madya Dr Chek Derashid berkata, TISSA bakal menjadi institusi pendidikan tinggi pertama Malaysia sekiranya berjaya memperoleh EPAS yang akan memulakan penilaian audit pada April depan.
Katanya, sebanyak 108 program dari 81 institusi seluruh dunia telah menerima akreditasi EPAS dan berharap UUM akan mendapat akreditasi tersebut yang sekali gus akan membantu dalam peningkatan ranking universiti di peringkat dunia.
Pada pelancaran Kempen Kesedaran EPAS itu, turut diadakan acara senamrobik dan persembahan Kumpulan Gendang 24 Musim dari Kelab Muzik, Pusat Budaya dan Seni (PBS).